Himpunan pekebun durian Raub tak dapat kebenaran, kata polis

Himpunan pekebun durian Raub tak dapat kebenaran, kata polis

Ketua Polis Raub Mohd Shahril Abdul Rahman berkata tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang menyertai perhimpunan itu pada Sabtu ini.

musang king
Sebahagian pekebun durian Raub yang hadir pada awal perbicaraan kes semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan. (Gambar Bernama)
RAUB:
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan pekebun durian Raub yang dijangka diadakan di Dataran Pasar Sungai Klau pada Sabtu.

Ketua Polis Raub Mohd Shahril Abdul Rahman berkata tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyertai perhimpunan berkenaan, kerana ia tidak mendapat kebenaran pemilik lokasi tersebut seperti ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata polis menerima pemakluman daripada pihak penganjur pada minggu lepas untuk mengadakan perhimpunan berkenaan, namun ia tidak mematuhi 10 hari notis seperti yang ditetapkan dalam akta terbabit.

“Kita juga menerima bantahan untuk mengadakan perhimpunan itu daripada penduduk setempat termasuk pemilik tempat iaitu Majlis Daerah Raub dan dengan mengambil kira semua perkara terbabit perhimpunan itu tidak diluluskan.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya mana-mana pihak ingkar dan menyertai perhimpunan itu,” katanya ketika ditemui Bernama.

Sebelum ini kumpulan Save Musang King Alliance (SAMKA) memaklumkan perhimpunan pekebun itu diadakan bagi menarik perhatian masyarakat terhadap kesulitan yang dihadapi pekebun di Raub serta menuntut pihak berkenaan menyewa tanah kebun secara sah kepada pekebun untuk menanam dan menjual durian selain terus menyumbang kepada industri durian di negara.

SAMKA mendakwa sejak kes semakan kehakiman pekebun durian ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 24 April lalu, pekebun durian di Raub menghadapi kesulitan, sering berdepan dengan tekanan dan gangguan dari kerajaan negeri, konsortium dan pihak penguatkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.