Cederakan polis guna gunting pemotong, buruh dipenjara 3 tahun

Cederakan polis guna gunting pemotong, buruh dipenjara 3 tahun

Ahmad Tarmizi Ishak mengaku bersalah atas tuduhan mencederakan dan menggunakan kekerasan terhadap anggota polis.

Gavel
Tertuduh Ahmad Tarmizi Ishak yang cedera di paha akibat ditembak polis dijatuhi hukuman itu dalam prosiding tertutup di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan. (Gambar Pexelpic)
KOTA BHARU:
Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mencederakan dan menggunakan kekerasan terhadap anggota polis, minggu lalu.

Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Tarmizi Ishak, 34, dalam prosiding tertutup di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Tertuduh dimasukkan ke HRPZ II kerana cedera pada bahagian paha kirinya selepas ditembak anggota polis kerana bertindak agresif semasa tangkapan terhadapnya dijalankan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama dengan satu sebatan manakala penjara setahun bagi kesalahan kedua dan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula hari ini.

Tarmizi didakwa mencederakan kedua-dua lengan Muhamad Yusuf Mohamad Fuad, 31, dengan menggunakan gunting pemotong pokok, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat, atau mana-mana daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam iaitu mangsa sama yang merupakan anggota Balai Polis Badang semasa menjalankan kewajipannya.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan berkenaan dilakukan di Kampung Kijang, Badang, Jalan Kuala Besar, pada jam 1 pagi, 31 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Akmal Mohd Bakri memohon hukuman berat kerana tertuduh menggunakan senjata terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas, selain memberi mesej jelas kepada masyarakat untuk menghormati penguat kuasa yang menjalankan tugas dalam mencegah jenayah.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Rais Imran menasihatkan tertuduh yang tidak diwakili peguam agar menghormati tugas penjawat awam dan tindakannya itu merisikokan keselamatan anggota polis yang bertugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.