7 syarikat tipu bida kena penalti RM446,000

7 syarikat tipu bida kena penalti RM446,000

Syarikat itu terlibat aktiviti kartel tipuan bida dengan nilai keseluruhan sekitar RM20 juta pada 2017 dan 2020.

CEO Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) Iskandar Ismail memberikan penerangan berkaitan modus operandi tujuh syarikat terlibat tipuan bida.
KUALA LUMPUR:
Tujuh syarikat terbabit kegiatan tipu bida dalam empat tender pembekalan barangan dan perkhidmatan untuk Kementerian Pertahanan dikenakan penalti RM446,092.95.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) kerana terlibat aktiviti kartel tipuan bida dengan nilai keseluruhan sekitar RM20 juta pada 2017 dan 2020.

“Pada 19 Dis 2023, MyCC telah mengeluarkan keputusan cadangan kepada tujuh perusahaan yang terlibat dan seterusnya MyCC menerima representasi daripada perusahaan tersebut.

“Selepas menilai dengan teliti semua representasi dikemukakan, MyCC mengeluarkan keputusan dapatan pelanggaran terhadap semua tujuh perusahaan pada 30 Ogos dan ia telah diserahkan kepada perusahaan terlibat hari ini,” katanya dalam sidang media di pejabat MyCC di Plaza Sentral.

Tujuh syarikat itu adalah Agenda Eksklusif Sdn Bhd (AESB), Star Apex Enterprise (SAE), Nekad Waja Resources (NWR), Spectron Sdn Bhd (SSB), Teknokrat Makmur Enterprise (TME), Prospectrum Sdn Bhd (PSB) dan NK Panorama Enterprise (NKPE).

Iskandar berkata, kartel itu menggugat ketelusan dan integriti perolehan sehingga mengakibatkan kerugian besar kepada sumber awam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk negara dan rakyat.

Katanya, ketika ini MyCC sedang menyiasat 13 kartel tipuan bida melibatkan 561 syarikat dalam tender bernilai RM2.37 bilion serta menilai aduan berkaitan 463 syarikat dalam tender RM9.27 billion.

“Perlu saya tegaskan penyiasatan ini tertumpu kepada perusahaan-perusahaan yang terlibat dalam pelanggaran tersebut, bukannya terhadap Kementerian Pertahanan.

“Kementerian Pertahanan adalah mangsa manipulasi kartel-kartel ini. Kami menghargai kerjasama Mindef dalam penyiasatan serta berdiri tegak bersama kami menentang aktiviti kartel yang tidak bertanggungjawab ini, kerana kartel adalah kejahatan tertinggi dalam undang-undang persaingan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua agensi mencontohi tindakan Kementerian Pertahanan yang bekerjasama dengan MyCC dalam usaha melindungi ketelusan perolehan awam.

“Jika terdapat kementerian atau agensi mengesyaki berlaku amalan tipuan bida dalam proses tender mereka, kami mengesyorkan segera menghubungi MyCC untuk membuat aduan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.