‘Bahan mentah kami dari pembekal ada sijil halal,’ kata dua restoran terkenal

‘Bahan mentah kami dari pembekal ada sijil halal,’ kata dua restoran terkenal

Johnny’s Restaurants dan Black Canyon menjelaskan tiada penggunaan sebarang alkohol atau wain dalam penyediaan makanan dan minuman dihidangkan.

Semalam, Jakim memaklumkan lima restoran terkenal bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
PETALING JAYA:
Dua pengusaha makanan dan minuman (F&B) Johnny’s Restaurants serta Black Canyon menjelaskan kesemua bahan mentah untuk menyediakan hidangan diperoleh dari pembekal memiliki sijil halal.

Menerusi kenyataan bersama, mereka berkata tiada penggunaan sebarang alkohol atau wain dalam pemprosesan atau penyediaan makanan dan minuman yang dihidangkan.

“Kedua-duanya memahami kepentingan pensijilan halal kepada pelanggan dan sedang berusaha mendapatnya daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dapur berpusat dan pensijilan individu untuk semua cawangan mereka,” katanya.

Semalam Jakim memaklumkan lima restoran terkenal bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Ia melibatkan restoran Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas semakan itu dibuat berdasarkan dalam sistem MYeHALAL JAKIM, bagi menjawab pertanyaan mengenai status halal beberapa premis makanan.

Sementara itu Dolly Dim Sum turut memaklumkan pihaknya juga sedang dalam proses mendapatkan sijil halal untuk setiap cawangannya.

Mereka turut menjelaskan dapur berpusatnya telah mendapat sijil halal, iaitu sebahagian proses penting dalam mendapatkan keseluruhan persijilan.

“Dapur berpusat yang membekalkan bahan-bahan dan makanan separa siap ke semua cawangan kami telah menerima sijil halal.

“Kami juga sedang dalam proses mendapatkan sijil halal untuk setiap cawangan kami,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.