
Hakim Suzana Hussin membenarkan pasport Abdul Hamid Shaikh, 50, dilepaskan sementara bermula hari ini susulan tiada bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin.
Terdahulu, Weera Premananda yang mewakili Abdul Hamid selaku peguam berkata, pihaknya memohon pasport diserahkan kepada anak guamnya hari ini.
“Anak guam perlu menghantar anak dan lawatan kerja pada 10 Sept hingga 15 Nov ini,” katanya.
Pada 5 April tahun lepas, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan menerusi Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Annuar Musa yang juga menteri komunikasi dan multimedia ketika itu untuk mempercepat proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya, antara Julai dan Ogos 2022.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.
Sementara itu, Hydroshoppe juga didakwa atas tuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh, menawarkan suapan itu kepada Tan bagi faedah Annuar dengan niat yang sama, di lokasi dan pada tarikh sama.
Tuduhan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 17A(2) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi, atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya.