‘Kamu yang banyak main’, Fahmi bidas Sanusi

‘Kamu yang banyak main’, Fahmi bidas Sanusi

Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan Sanusi Nor yang menteri dan timbalan menteri kerajaan perpaduan mengamalkan sentimen politik.

fahmi sanusi
Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata Menteri Besar Kedah Sanusi Nor tidak perlu bermain politik.
PUTRAJAYA:
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang banyak ‘main politik’ bukan menteri dan timbalan menteri kerajaan perpaduan, kata Fahmi Fadzil.

Jurucakap kerajaan berkata demikian sebagai respons dakwaan Sanusi semalam yang menteri dan timbalan menteri masih mengamalkan sentimen politik tebal terhadap negeri pembangkang.

“Saya lihat yang banyak main politik menteri besar Kedah. Tak perlu main politik,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi.

“Perdana menteri banyak luangkan masa melawat untuk kenal pasti masalah seperti sewaktu beliau ke Rantau Panjang, Pasir Mas (Kelantan).”

Semalam, Sanusi berkata walaupun pembangkang sudah membuka ruang seluasnya untuk bekerjasama, tetapi menteri dan timbalan menteri kerajaan perpaduan tetap ingin ‘bermain politik’.

Katanya, sentimen politik yang tebal itu membataskan kerjasama kerajaan negeri dengan persekutuan terutama dalam sektor tertentu, khususnya pada peringkat kementerian.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tidak berlaku pada peringkat pegawai ketua setiausaha (KSU) dan ke bawah.

Fahmi berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan dari awal tidak perlu ada sentimen politik dalam isu menguruskan pembangunan, termasuk melibatkan negeri diterajui pembangkang.

“Kita cuma tegaskan aspek urus tadbir baik dan isu tatakelola baik perlu diketengahkan serta diutamakan,” katanya.

Zaman Dr M lagi teruk

Dalam perkembangan lain, Fahmi menasihatkan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan berbincang secara tertib dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berhubung memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang.

Katanya, Takiyuddin tidak sepatutnya mengadu secara terbuka mengenai perkara itu dan beliau perlu belajar bagaimana kerajaan sebelum ini menguruskan hak berkenaan.

Menteri komunikasi berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan Takiyuddin berhubung tujuh syarat, termasuk sokongan kepada kerajaan sehingga PRU15, yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang untuk mendapatkan peruntukan.

Sementara itu, Fahmi turut menafikan dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang kebebasan suara rakyat disekat bawah pentadbiran kerajaan perpaduan.

Katanya, keadaan pada zaman Mahathir lebih teruk berbanding pemerintahan kerajaan ketika ini.

“(Mahathir) masih boleh bersuara, dan tiada sesiapa menghalangnya daripada mengeluarkan kenyataan. (Zaman Mahathir dulu), akhbar ditutup, orang berdemonstrasi di jalan raya dipukul, ditangkap, ditendang dan dipenjara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.