Wanita Umno cadang 3 nama calon PRK Mahkota

Wanita Umno cadang 3 nama calon PRK Mahkota

Ketuanya, Noraini Ahmad bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon.

Ketua Wanita Umno berkata, calon wanita sangat dialu-alukan untuk bertanding pada PRK Mahkota 28 Sept nanti.
IPOH:
Wanita Umno menyerahkan tiga nama kepada pucuk pimpinan untuk dipertimbangkan menjadi calon PRK Mahkota di Johor.

Ketua Wanita Noraini Ahmad berkata, sayap parti itu menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon bagi kerusi itu nanti.

“… Sesiapa pun calon yang dinamakan oleh kepimpinan, Wanita (Umno) akan sokong, bantu sebaik mungkin untuk menangkan.Sekiranya calon itu wanita, kita amat alu-alukan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak.

“Saya telah kemukakan calon (daripada Wanita Umno) tetapi akhirnya … itu keputusan kepimpinan, mengambil kira pelbagai faktor. Yang penting, Barisan Nasional (BN) menang di DUN Mahkota.”

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Wanita Umno sudah mengemukakan calon bagi PRK Mahkota.

Pada 22 Ogos lepas, Noraini berkata, Wanita Umno menuntut supaya calon yang bertanding pada PRK Mahkota dipilih daripada sayap berkenaan bagi meneruskan legasi penyandang, Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga exco Wanita Umno.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia pada 2 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 28 Sept, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.