Kes dagang manusia: Polis sedang kesan penulis negara jiran

Kes dagang manusia: Polis sedang kesan penulis negara jiran

Polis sedang mengesan penulis untuk dirakam percakapan dalam siasatan kes didakwa libat ahli politik.

raza
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis akan membuat semakan akaun bank, dalam siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar.
PETALING JAYA:
Polis sedang mengesan penulis dari negara jiran untuk dirakam percakapan dalam siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar, didakwa melibatkan ahli politik.

Ia susulan dakwaan ia membabitkan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mashitah Ibrahim, dan suami.

“Siasatan polis adalah berkaitan pembabitan beliau (Mashitah) dalam dakwaan pemerdagangan orang, itu sahaja,” katanya lapor Berita Harian.

Sebelum ini, Mashitah membuat laporan polis menafikan pembabitan dalam aktiviti sedemikian, sambil menyifatkan maklumat itu ‘dikutip media picisan Indonesia’.

Sebelum itu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan penglibatan seorang ahli politik dengan kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Dakwaan itu susulan tular satu video tentang sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar, yang diterbitkan di Indonesia.

Sementara itu, Razarudin berkata polis masih mengesan sama ada terdapat individu yang melarikan diri selepas dakwaan timbul, dan akan membuat semakan akaun bank.

Semalam, polis dilapor sudah mengambil keterangan tiga individu termasuk ahli politik yang didakwa itu dan suaminya.

Polis sedang mengesan seorang ‘Datuk Seri’ bagi membantu siasatan, selain memanggil tiga penulis artikel.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.