
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) mengalu-alukan kenaikan elaun bertugas atas panggilan, sambil menggesa kerajaan melihat pada jangka masa bertugas yang tidak membebankan dan bilangan doktor secukupnya.
“Sebaiknya imbuhan setimpal diberikan kepada doktor yang bertugas lebih masa, tetapi strategi jangka masa panjang yang lebih mapan harus difikirkan.
“Jangka masa bertugas harus dihadkan supaya tidak membebankan. Kerajaan juga harus merangkakan pelan jangka masa panjang keperluan doktor negara untuk mendapatkan lebih ramai doktor,” kata presidennya, Dr Jamalludin Ab Rahman.
Menjelaskan gesaan ini, Jamalludin berkata ia akan mengurangkan keperluan seseorang doktor bertugas dalam tempoh masa yang lama, kerana beban tugas boleh dikongsi dengan lebih ramai doktor.
“Bekerja dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan ‘work fatigue’ (kelesuan) dan memberi risiko melakukan kesilapan,” katanya.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad pada Khamis berkata pegawai perubatan sektor awam dijangka menerima berita gembira berhubung semakan semula kadar elaun bertugas atas panggilan.
Katanya perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri lalu dan mendapat reaksi positif Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dzulkefly membayangkan perkara itu akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025.
Pada 24 Ogos, Dzulkefly dilaporkan berkata cadangan daripada Hartal Doktor Kontrak (HDK) berhubung kadar elaun tugas atas panggilan akan diteliti dan dibawa kepada perdana menteri.
HDK ketika dihubungi berkata kadar bayaran bertugas atas panggilan perlu setimpal dengan pengorbanan para doktor.
Jurucakapnya, Dr Muhammad Yassin, menjelaskan RM25 untuk satu jam adalah jumlah yang dirasakan setimpal dan sejajar dengan kajian yang dibuat Persatuan Perubatan Malaysia.
“Berkenaan semakan kadar bayaran bertugas atas panggilan sewajarnya, ruang diberikan kepada Anwar untuk membuat pengumuman dahulu sebelum sebarang komen dibuat.”