Hantar gambar pembunuhan kejam, DSP mengaku tak salah ugut 2 lelaki

Hantar gambar pembunuhan kejam, DSP mengaku tak salah ugut 2 lelaki

Pegawai berpangkat deputi superintendan itu didakwa buat ugutan jenayah melalui WhatsApp.

gavel
Tertuduh, KK Ravindhran, 52, dituduh hantar gambar seorang lelaki dibunuh kejam kepada dua kontraktor elektrik. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Pegawai kanan polis berpangkat deputi superintendan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan mengugut dua lelaki dengan menghantar gambar pembunuhan kejam menerusi aplikasi WhatsApp, April lalu.

Tertuduh, KK Ravindhran, 52, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top dan Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan sengaja membuat ugutan jenayah kepada dua kontraktor elektrik masing-masing berusia 42 tahun dan 50 tahun, dengan menghantar gambar menunjukkan seorang lelaki dibunuh kejam menggunakan WhatsApp melalui nombor telefon.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Jalan Pandan Indah dan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Cahaya, Ampang, pada 7.57 petang dan 7.58 petang, 27 April.

Oleh itu, dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Normaizan dan Amalina Basirah masing-masing membenarkan jaminan RM4,000 serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah, dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan sebutan bagi dua kes itu pada 16 Oktober untuk serahan dokumen, lapor Harian Metro.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal serta Norhidayah Abdullah Sani dan tertuduh diwakili peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.