Draf MoU kerajaan berkait peruntukan pembangkang ada 7 ‘syarat pelik’, kata PN

Draf MoU kerajaan berkait peruntukan pembangkang ada 7 ‘syarat pelik’, kata PN

Takiyuddin Hassan berkata pihaknya akan membuat keputusan sama ada akan terima syarat MoU itu dalam bulan ini.

Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata draf MoU kerajaan berhubung peruntukan Ahli Parlimen pembangkang mengandungi tujuh syarat termasuk sokongan sehingga akhir penggal Parlimen.
BANGI:
Memorandum persefahaman (MoU) berhubung peruntukan Ahli Parlimen pembangkang mengandungi ‘syarat pelik’, termasuk wakil rakyat perlu mengisytiharkan harta dan menyatakan sokongan kepada kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen, kata Perikatan Nasional (PN).

Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya masih berbincang sama ada akan menerima tujuh syarat dikemukakan kerajaan dalam draf MoU itu atau tidak.

Katanya, selain pengisytiharan harta dan sokongan terhadap kerajaan, MoU itu turut menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja).

“Ada juga elemen PN kena sokong kerajaan…berkuat kuasa sehingga akhir penggal Parlimen ke-15. Apa kena-mengena peruntukan Ahli Parlimen dengan sokongan sampai akhir penggal?” katanya pada sidang media selepas persidangan kemuncak empat kerajaan negeri (SG4).

“(Tentang pengisytiharan harta), kita juga tak faham kenapa Ahli Parlimen bukan kerajaan kena isytihar harta, sedangkan (sepatutnya) ia hanya perlu melibatkan anggota pentadbiran kerajaan sahaja, seperti perdana menteri dan timbalannya, serta menteri-menteri.”

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas sama ada PN membincangkan MoU membabitkan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang.

Takiyuddin berkata, pihaknya akan membincangkan lebih lanjut MoU itu dalam masa terdekat atau sebelum sidang Parlimen Oktober untuk dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

“Surat ini bertarikh 1 Ogos, tetapi saya terima 6 Ogos. Kita belum putuskan, nanti akan buat keputusan dalam bulan ini,” katanya.

Sebelum ini, Fadillah dilaporkan berkata, kerajaan masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pembangkang berhubung draf MoU berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.