3 treler berisi 58,000 liter minyak sawit mentah dirampas

3 treler berisi 58,000 liter minyak sawit mentah dirampas

Rampasan dibuat atas kesalahan mengalih dan menyimpan minyak sawit tanpa lesen.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat, berkata nilai keseluruhan rampasan melebihi RM460,000. (Gambar PDRM)
JOHOR BAHRU:
Polis merampas tiga treler yang tidak mempunyai nombor pendaftaran berisi 58,000 liter minyak sawit mentah bernilai RM220,500 dalam Op Taring Palma, di sebuah premis di Permas Jaya.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat, berkata rampasan minyak sawit jenis ‘crude palm oil’ itu dilakukan dalam serbuan melibatkan pegawai dan anggota daripada Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dan pegawai penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), antara 12.30 tengah malam hingga 10.18 pagi tadi.

“Selain tiga treler yang dijadikan tempat penyimpanan minyak sawit mentah, masing-masing sebanyak 10,000, 43,000 dan 5,000 liter, turut dirampas satu unit mesin pam jenama Honda GX160 dan satu unit pam jenama Asahi beserta hos.

“Juga dirampas dua menara dandang, satu foklif jenis Toyota 25, satu alat penimbang industri 100 tan dan satu lori jenis Hino 40 tan dan jumlah rampasan ialah RM465,111.20,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tiada tangkapan dilakukan memandangkan tiada suspek di lokasi dan kes disiasat di bawah Seksyen 78 Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) kerana mengalih dan menyimpan minyak sawit tanpa lesen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.