
Peruntukan itu yang disalurkan melalui Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) bawah Jabatan Premier Sarawak, disampaikan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Stephen Rundi Utom.
Daripada peruntukan itu SJK Methodist (M) Sibu menerima paling banyak iaitu RM300,000 diikuti SMK Tong Hua, Meradong (RM200,000); SK Methodist Anglo-Chinese, Sarikei (RM176,361); SJK(C) Su Kwong, Sarikei (RM150,000); SJK(C) Tong Hua, Meradong (RM150,000); dan SMK Methodist, Sibu (RM125,999).
Rundi berkata, Unifor bukan bukan sahaja memberi bantuan bagi pembangunan fizikal institusi agama bukan Islam termasuk gereja dan permohonan tanah perkuburan, malah boleh melakukan lebih banyak lagi perkara berkaitan usaha kerajaan bagi menjaga hal-ehwal institusi bukan Islam di Sarawak.
“Sebagai contohnya di Bintulu saya sedang berusaha mewujudkan perkuburan baharu yang lebih besar untuk komuniti Kristian, tetapi (lokasi) agak jauh dari pusat bandar.
“Kami memerlukan kira-kira 60 hektar tanah yang dimohon oleh SUCT (Sarawak Unifor Charitable Trust) kepada pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS),” katanya pada majlis penyampaian cek Unifor kepada enam sekolah mubaligh di bahagian Sibu dan Sarikei hari ini.
Beliau berkata, disebabkan tidak ada lagi tanah untuk mewujudkan tapak perkuburan baharu bagi komuniti Kristian dalam kawasan bandar Bintulu, tapak perkuburan lebih besar itu dicadangkan dibina di Sebauh.
Katanya, tapak perkuburan baharu diperlukan kerana pertambahan jumlah penduduk berikutan ramai orang berhijrah untuk bekerja dan seterusnya menetap di Bintulu.