MyCC ikrar terus banteras kartel, jaga kebajikan pengguna

MyCC ikrar terus banteras kartel, jaga kebajikan pengguna

Menteri Armizan Mohd Ali sebelum ini memberitahu lebih 100 perusahaan terbabit aktiviti kartel dan tipuan bida telah dikenakan penalti kira-kira RM570 juta antara 2011 hingga Julai lalu.

Mesyuarat MTEN dipengerusikan Anwar Ibrahim sebelum ini, antara lain mahu MyCC mengkaji isu berkaitan kewujudan kartel dalam isu pengimportan barangan berasaskan makanan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Selepas mematahkan beberapa kartel sebelum ini termasuk berkait makanan ayam, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berikrar terus menggiatkan usaha membanteras kegiatan itu selaras mandat Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

MyCC berkata antara inisiatif dilakukan termasuk mewujudkan pasaran lebih berdaya saing antara pemain industri, dalam usaha memaksimumkan kebajikan pengguna.

“MyCC akan meneruskan serta menambah usaha-usaha membanteras aktiviti kartel yang merugikan ekonomi,” kata agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam jawapan bertulis kepada FMT.

Bulan lalu, Menteri KPDN Armizan Mohd Ali berkata kira-kira 100 perusahaan terlibat dalam aktiviti kartel harga, pasaran, pengeluaran dan tipuan bida yang turut menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup, telah dikenakan penalti.

Menurutnya, penalti dikenakan sejak penubuhan MyCC sejak 2011 itu berjumlah RM570 juta.

Pada Disember tahun lalu, MyCC mengenakan penalti RM415.5 juta kepada lima syarikat didapati melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 melalui pembentukan kartel makanan ayam.

Siasatan MyCC dari Januari 2020 hingga Mac 2022 membuktikan kenaikan kuantum harga makanan ayam sama antara perusahaan terbabit dari Januari 2020 hingga Jun 2022, selain mendapati lima syarikat itu menggunakan alasan kenaikan kos makanan ayam akibat peningkatan perbelanjaan bahan mentah.

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) dipengerusikan Anwar sebelum ini antara lain mahu MyCC mengkaji kewujudan kartel dalam isu pengimportan barangan berasaskan makanan kerana berkait ‘perut rakyat’.

Pada 23 Ogos lalu, Armizan meminta perdana menteri mempertimbang permohonan untuk menambah bilangan pegawai penyiasat MyCC bagi memerangi kewujudan kartel dalam negara.

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 1 April 2011 hingga kini, suruhanjaya itu hanya mempunyai 17 pegawai penyiasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.