
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha, berkata hasil risikan dua minggu itu membawa kepada penahanan 12 lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan berusia antara 33 hingga 53 tahun.
Katanya, empat daripada yang ditahan itu disyaki dalang utama sindiket terbabit iaitu dua lelaki warga Bangladesh serta seorang lelaki warga India dan wanita tempatan.
“Operasi bermula 2.30 petang itu tertumpu di empat lokasi iaitu di Bandar Manjalara, Jalan Medan Tuanku, Jalan Tiong Nam dan Jalan Cheras.
“Sindiket dipercayai sudah setahun beroperasi. Mereka mengenakan bayaran RM500 untuk setiap perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya pada sidang media hari ini, menurut Berita Harian.
Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah menawarkan perkhidmatan JIM iaitu berkaitan pasport, Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Program Rekalibrasi 2.0 serta Visa.
“Dalam operasi ini kita turut merampas 530 pasport pelbagai negara termasuk Malaysia, lima set komputer, dua dekoder kamera litar tertutup (CCTV), dua pencetak, 14 cap syarikat, tiga sijil kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan wang tunai berjumlah RM13,900.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan sijil kelahiran yang dikeluarkan JPN,” katanya.
Menurutnya, semua semua warga asing ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(3), Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, selain Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Manakala wanita tempatan yang ditahan pula akan disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
“Kita juga sudah menyerahkan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan kepada enam wanita tempatan,” katanya.