
Tahun ini, timbalan ketua pengarah (kebudayaan dan kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara berusia 59 tahun itu sekali lagi memikul cabaran disifatkannya lebih hebat kerana perlu mengendalikan lebih 17,000 peserta membabitkan 57 kontinjen di Dataran Putrajaya, esok.
Sambutan juga bakal dimeriahkan 25 pancaragam, 112 aset hidup, 479 aset negara termasuk persembahan udara, selain segmen persembahan selama 30 minit, membabitkan ribuan peserta ‘grafik manusia’ dengan gerak tari koreografi berskala besar.
Bertindak selaku pengarah artistik dan konsep, Rosnan mengakui ramai tidak menyedari pembabitan mereka, berbanding peserta seperti ‘Abang Bomba’ yang menjadi sebutan ramai ketika sambutan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, dua tahun lalu.
“Orang nampak semuanya cantik tapi tak tahu bagaimana sakit dan peritnya…mula berada di lokasi 5 pagi dan balik rumah antara 6 petang atau 12 tengah malam.
“Esok sambung lagi 5 pagi,” katanya kepada FMT di tepian raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan ke-67 yang bertemakan ‘Malaysia Madani, Jiwa Merdeka’ pada Khamis.

Rosnan secara peribadi berpendapat sambutan tahun ini yang mungkin terakhir baginya sebelum bersara tahun depan juga sangat istimewa.
Ini kerana lagu ciptaan bersama komposer Anuar Abdul Razak bertajuk ‘Cuci Rasuah’ akan diperdengarkan esok yang fokusnya menyampaikan mesej perjuangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memerangi jenayah itu.
“Kita guna konsep stompers, menggunakan alat muzik seperti tong sampah, penyapu dan sebagainya,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Acara.

Berkongsi pengalamannya sepanjang 16 tahun, anak kelahiran Pulau Pinang itu pernah melalui saat cemas apabila kereta kebal mengalami kerosakan ketika perarakan pada 2022.
“Bila kereta kebal rosak, kereta lain tidak boleh bergerak. Bayangkan, jalan (lokasi perarakan) kosong selama 15 minit. Terpaksa tunda kereta kebal.
“Pernah juga, sehari sebelum acara rasmi, 40 kumpulan kami termasuk saya, dimasukkan ke hospital sebab keracunan makanan. Saya terpaksa cabut ‘drip’ di tangan dan datang uruskan perarakan. Itu tanggungjawab saya,” katanya.