
Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu terhadap Samuel Lee, yang mengaku bersalah, dan memerintahkan lelaki berusia 21 tahun itu dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda.
Lee didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana memukul seekor anjing baka Husky secara bertubi-tubi di balkoni rumahnya di Landmark Residence, Kajang, pada 1 Julai lepas.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tindakan Lee menjadi tular di media sosial selepas dirakam oleh jirannya.
Pada 2 Julai, anjing itu diselamatkan dan dibawa ke klinik veterinar untuk rawatan. Haiwan itu didapati mengalami trauma serta ketakutan ekstrem.
Anjing yang dinamakan Kitster itu disimpan oleh Kota Damansara Veterinary Centre untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, pegawai pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor Mohd Sharif Sabran memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.
“Perbuatan (Lee) yang kejam memukul anjing itu hingga mengalami kemurungan memerlukan hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat dan teladan,” katanya, lapor Bernama.
“Kes ini mendapat liputan luas dan menimbulkan kemarahan awam, menunjukkan perlunya tindakan serius terhadap jenayah terhadap haiwan serta mempertimbangkan faktor kepentingan awam.”
S Rajashree yang mewakili Lee selaku peguam memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya seorang pemain badminton profesional dan juga perlu menanggung keluarga.