
Majistret Anis Hanini Abdullah menjatuhkan hukuman denda itu terhadap M Thineshkumar, 23, yang membuat pengakuan bersalah selepas tuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah.
Anis Hanini juga mengarahkan Thineshkumar dipenjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Thineshkumar didakwa memukul seekor anjing jantan menggunakan sebatang besi di sebuah rumah di Lebuh Kledang Utara 30, Taman Arkid, antara jam 10.30 malam 18 Sept hingga 9 pagi keesokan harinya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000, namun tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amal Aziemah Abd Kohar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh merayu denda minimum dikenakan dengan alasan pendapatan sebagai mekanik tidak tetap dan mengaku dia membunuh anjing kerana haiwan itu menggigitnya.
Bagaimanapun, Amal Aziemah meminta hukuman yang setimpal kerana perbuatan itu sangat kejam.
Mengikut fakta kes, anjing itu mati akibat hentakan di bahagian kepala.
Tertuduh memukul anjing itu dalam dua kejadian berasingan iaitu kira-kira 10.30 malam pada 18 Sept dan 9 pagi keesokan harinya yang menyebabkan kematian haiwan tersebut.
Perbuatan tertuduh turut dirakam pengadu sebelum video berkenaan tular di media sosial.