Hospital Bukit Mertajam perlukan perkhidmatan 24 jam CT Scan, kata senator

Hospital Bukit Mertajam perlukan perkhidmatan 24 jam CT Scan, kata senator

Dr RA Lingeshwaran berkata Kementerian Kesihatan perlu menyediakan staf profesional mencukupi bagi mengendalikan mesin baharu itu.

Perkhidmatan CT Scan di Hospital Bukit Mertajam hanya tersedia dari pukul 8 pagi hingga 5 petang kerana kekurangan pakar, pegawai perubatan, dan jururadiografi. (Gambar Facebook)
BUKIT MERTAJAM:
Mesin pengimbas tomografi berkomputer (CT Scan) akhirnya diterima Hospital Bukit Mertajam, namun ia hanya akan digunakan pada waktu pejabat sahaja kerana kekurangan kakitangan profesional.

Senator Dr RA Lingeshwaran berkata Jabatan Kesihatan Pulau Pinang membuat pengumuman mengenai penerimaan mesin tersebut melalui media sosial pada Isnin.

“Perkhidmatan CT Scan hanya tersedia dari pukul 8 pagi hingga 5 petang kerana kekurangan pakar, pegawai perubatan, dan jururadiografi.

“(Penerimaan mesin ini) adalah kelegaan besar bagi penduduk kerana sebelum ini mereka perlu pergi ke hospital lain yang jauh. Pesakit juga terpaksa dihantar dengan ambulans.

“Bagaimanapun, hospital sepatutnya menyediakan perkhidmatan sepanjang masa untuk mengurangkan kesesakan,” katanya kepada FMT.

Lingeshwaran berkata kerana jumlah pesakit yang sangat tinggi, kementerian seharusnya menempatkan semula kakitangan supaya mesin dapat beroperasi pada waktu malam, terutamanya bagi kes kecemasan.

Jabatan kesihatan berkata hanya empat jururadiografi dari hospital itu dilatih untuk mengendalikan mesin tersebut dan menyediakan laporan, dan menambah perkhidmatan itu mungkin akan diperluaskan.

“Walaupun terdapat banyak cabaran seperti kekurangan staf dan barangan guna habis, perkhidmatan CT Scan dijangka diperluas di masa hadapan, bermula dengan perkhidmatan 24 jam untuk kes kecemasan, apabila terdapat pertambahan jawatan dan peruntukan kewangan kelak,” katanya di Facebook.

Lingeshwaran berkata senarai menunggu masih panjang walaupun 31 pengimbasan CT Scan dilakukan antara 16 Ogos iaitu tarikh penerimaan mesin, hingga 23 Ogos.

“Masalah kekurangan tenaga kerja mesti diselesaikan segera untuk membantu pesakit yang menunggu,” katanya.

Dalam Dewan Negara pada Mac lalu, Lingeshwaran membangkitkan mengenai masalah kekurangan jururawat dan peralatan kesihatan di Pulau Pinang, terutama di tanah besar.

Beliau berkata beberapa hospital tidak mempunyai peralatan yang diperlukan, manakala beberapa hospital lain mempunyai peralatan tetapi kekurangan kakitangan untuk mengendalikannya.

Bekas pengarah Hospital Sungai Bakap itu berkata di tanah besar Pulau Pinang mempunyai empat hospital kerajaan untuk kira-kira satu juta penduduk, tetapi hanya sebuah hospital yang mempunyai mesin CT Scan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.