BSI gagal batal tuntutan 1MDB di mahkamah Singapura

BSI gagal batal tuntutan 1MDB di mahkamah Singapura

1MDB berkata keputuan itu membolehkan kes tuntutan USD394 juta terhadap bank tersebut diteruskan.

1MDB dan anak syarikatnya, Brazen Sky Limited memohon ganti rugi akibat pemindahan dana tanpa kebenaran dan skim pengubahan wang haram melalui akaun di BSI. (Gambar AP)
SINGAPURA:
Mahkamah Tinggi Singapura semalam menolak permohonan BSI Bank Limited (BSI) untuk membatalkan tuntutan USD394 juta yang dikemukakan oleh 1MDB dan anak syarikatnya, Brazen Sky Limited.

1MDB berkata dengan keputusan itu, tertakluk kepada rayuan, membolehkan kes terhadap BSI diteruskan.

Kes itu yang bermula pada 2 Mei, menyaksikan 1MDB dan Brazen Sky memohon ganti rugi bagi kerugian kewangan berskala besar yang dikatakan dialami akibat pemindahan dana tanpa kebenaran dan skim pengubahan wang haram yang diatur melalui akaun di BSI.

Tuntutan itu mendakwa bahawa BSI dan beberapa bekas pegawainya memudahkan pemindahan berkenaan, membantu dalam penyelewengan aset 1MDB. BSI dimasukkan ke dalam pembubaran sukarela ahli pada 2017.

“Kami gembira permohonan ini ditolak dan komited untuk mempertanggungjawabkan institusi dan individu yang terlibat dalam penyelewengan wang daripada dana kekayaan Malaysia.

“Kami juga memastikan pemulihan dan pengembalian aset ini kepada rakyat Malaysia,” kata jurucakap lembaga 1MDB dalam satu kenyataan.

1MDB berkata tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha pemulihan aset globalnya yang berterusan untuk menuntut semula berbilion dolar dana yang diselewengkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.