NGO gesa SPRM siasat ahli politik didakwa terlibat sindiket pemerdagangan manusia

NGO gesa SPRM siasat ahli politik didakwa terlibat sindiket pemerdagangan manusia

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia berkata ia susulan video tular tentang sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Hishamuddin Hashim membuat laporan kepada SPRM berkait dakwaan penglibatan ahli politik dalam sindiket pemerdagangan manusia. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Sebuah kumpulan pertubuhan kemanusiaan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penglibatan seorang ahli politik dengan kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, Hishamuddin Hashim, berkata dakwaan itu susulan tular satu video tentang sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar, yang diterbitkan di Indonesia.

Katanya kepada pemberita di luar SPRM Putrajaya petang tadi, video itu mendakwa seorang ahli politik dan suaminya terlibat aktif dalam sindiket pemerdagangan manusia.

Individu terbabit dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan sejak 2020, katanya selepas laporan dibuat.

Sementara itu, Hishamuddin berkata video tersebut mendakwa suami ahli politik itu memegang jawatan dalam sebuah syarikat. “Syarikat itu disyaki terlibat di dalam aktiviti-aktiviti jenayah di Myanmar.”

“Modus operandi sindiket itu adalah dengan memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik. Mangsa kemudiannya diarahkan ke satu tempat sebelum dipaksa bekerja sebagai scammer dan penipuan judi secara dalam talian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.