
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata perkara itu diputuskan Jemaah Menteri dalam mesyuarat mingguan hari ini.
“Justeru, saya menerima keputusan tersebut dan menarik diri daripada bertanding jawatan presiden KLFA (Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur),” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu dalam catatan X.
Minggu lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan bersaing dengan rakan separtinya, Nik Nazmi untuk jawatan tertinggi KLFA itu.
Fahmi, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai membuat pengumuman itu menerusi TikTok dan turut menamakan ahli “pasukannya”, termasuk Azman Abidin, setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang akan bertanding jawatan setiausaha KLFA.
Minggu lalu, bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan berharap lebih sedikit persatuan sukan akan diterajui ahli politik atau bekas ahli politik berbanding keadaan sekarang.
Bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin pula berkata, badan sukan selalunya diketuai ahli politik atau tokoh korporat berbanding atlet untuk mengutip dana.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, beliau terus komited menyokong usaha KLFA membangunkan ekosistem bola sepak sihat dan KL City FC.
“Pada masa sama, saya akan terus menaungi kelab bola sepak Setiawangsa Rangers, salah sebuah kelab gabungan KLFA, yang saya asaskan pada 2018.”