PAS nafi tak sokong Muhyiddin

PAS nafi tak sokong Muhyiddin

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS tetap bersolidariti dengan kehadiran Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dan pimpinan Perak di Mahkamah Gua Musang.

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas tuduhan menghasut yang dibuat semasa berkempen di Felda Perasu pada 14 Ogos lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS menafikan laporan tiada pemimpin parti itu hadir ke Mahkamah Gua Musang untuk memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang didakwa atas tuduhan menghasut.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS tetap bersolidariti dengan Muhyiddin menerusi kehadiran Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, pimpinan PAS Perak serta penyokong parti yang lain.

“PAS kesal dengan laporan dikeluarkan itu. Jelas berbohong dan cuba melaga-lagakan PN.

“Kita mempersoalkan beliau (Muhyiddin) dituduh bawah Akta Hasutan yang selama ini dibantah habis-habisan oleh Pakatan Harapan, namun mereka menggunakannya apabila berkuasa,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, laporan sebuah portal mendakwa PAS seolah-olah ‘menjauhkan diri’ dalam isu tersebut apabila tiada pemimpin parti hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan kepada Muhyiddin.

Beberapa pemimpin Bersatu termasuk Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, Ketua Penerangan Azmin Ali dan Naib Presiden Radzi Jidin dilihat hadir ke mahkamah.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Gua Musang Azman Ahmad memberitahu FMT antara pemimpin parti yang hadir ke mahkamah termasuk Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dan pimpinan PAS kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai ketidakhadiran pemimpin utama PAS di mahkamah.

Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan itu berkaitan ucapannya yang dibuat ketika berkempen pada PRK Nenggiri di Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan, pada 14 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.