KPDN timbang kenderaan Brunei guna RON95 di Miri

KPDN timbang kenderaan Brunei guna RON95 di Miri

Armizan Mohd Ali berkata harga RON95 lebih murah di Brunei, jadi tiada isu petrol itu diseludup ke negara jiran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata beliau akan meneliti kemungkinan berlakunya masalah bekalan RON97 di Miri, yang merupakan satu-satunya pilihan petrol bagi kenderaan berdaftar di luar negara.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempertimbangkan cadangan kenderaan yang didaftarkan di Brunei dibenarkan untuk mengisi petrol bersubsidi RON95 di stesen minyak di Miri, Sarawak.

Menterinya, Armizan Mohd Ali berkata harga RON95 di Brunei jauh lebih murah, jadi tidak akan ada isu bahan api itu diseludup ke negara jiran, lapor The Borneo Post.

Armizan berkata beliau akan meneliti kemungkinan berlakunya masalah bekalan RON97 di Miri, yang merupakan satu-satunya pilihan petrol bagi kenderaan berdaftar di luar negara.

“Kita akan meneliti cadangan ini dengan melihat data tertentu sambil mengambil kira bekalan RON97 di Sarawak, terutama di Miri.

“Kita juga akan melihat kawasan tumpuan pengunjung atau pelancong dari Brunei untuk menentukan sama ada terdapat masalah dengan bekalan RON97 di kawasan-kawasan ini,” katanya.

Armizan juga memberi peringatan kepada pengendali stesen minyak di Sarawak bahawa kenderaan dari Brunei dibenarkan untuk mengisi tangki penuh jika stesen minyak itu terletak lebih 30km dari sempadan Sarawak-Brunei.

Katanya, had maksimum 20 liter bahan api hanya terpakai kepada mereka mengisi minyak di stesen dalam lingkungan 30km dari sempadan.

Baru-baru ini, konvoi dari Brunei yang menyertai acara ‘offroad’ di Miri mengadu di media sosial selepas tidak dibenarkan mengisi minyak di beberapa stesen minyak.

Armizan berkata kejadian itu berlaku akibat salah faham oleh pengendali stesen minyak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.