
Mahathir berkata, tiada kad pengenalan (IC) dengan nama itu pernah dikeluarkan kepadanya.
“Sejak saya lahir sehingga saya menjadi doktor perubatan, tiada siapa yang pernah memanggil saya dengan nama itu,” kata lelaki berusia 99 tahun itu kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Beliau berkata nama itu tidak pernah muncul di mana-mana sehingga Zahid mendakwa dia mempunyai salinan IC biru lama yang mengandungi nama Mahathir anak Iskandar Kutty.
“Itu satu pembohongan Zahid,” katanya.
Perbicaraan yang bermula hari ini, pada asalnya dijadualkan pada 13 Feb. Ia ditangguhkan selepas Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan disahkan tidak sihat untuk menghadiri prosiding.
Mahathir menyaman Zahid berhubung dakwaan beliau menggunakan nama Kutty, yang menurut bekas perdana menteri itu bertujuan sebagai rujukan menghinanya.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mahathir mendakwa Zahid memfitnahnya melalui penggunaan nama Kutty pada mesyuarat bahagian Umno di Kelana Jaya, di Selangor, pada 30 Julai 2017.
Dia mendakwa kenyataan itu bertujuan untuk membayangkan bahawa dia tidak dilahirkan sebagai Melayu atau Islam dan nama asalnya ialah Mahathir anak Iskandar Kutty.
Dalam pembelaannya, Zahid berkata, nama itu merujuk kepada individu berdasarkan maklumat yang terkandung dalam salinan kad pengenalan lama.