Polis rampas dadah RM2.35 juta, 2 lelaki ditahan

Polis rampas dadah RM2.35 juta, 2 lelaki ditahan

Polis menahan dua suspek positif methamphetamine dan mempunyai tujuh serta enam rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah, selain jenayah.

KHAW KOK CHIN
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Khaw Kok Chin berkata sindiket pengedaran dadah itu menggunakan kereta sewa mengedar dadah kepada pelanggan di pusat hiburan sekitar Lembah Klang dan Johor. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan dua anggota sindiket pengedaran dadah dan merampas lebih 23.5kg erimin 5 dianggarkan bernilai RM2.35 juta dalam Ops Landseer di ibu negara dan Johor, Khamis lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata berdasarkan risikan pada hari itu, sebuah Toyota Vios dipandu seorang lelaki ditahan di sebuah kawasan kondominium Jalan Klang Lama.

Beliau berkata, polis menahan lelaki 57 tahun itu selepas pemeriksaan ke atas kereta berkenaan membawa kepada penemuan erimin 5 seberat 23.5kg.

“Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Tangkak, Johor dan menahan seorang lagi anggota sindiket berumur 45 tahun. Siasatan awal mendapati kumpulan ini menggunakan kereta sewa untuk mengedar dadah kepada pelanggan di pusat hiburan sekitar Lembah Klang dan Johor,” katanya dalam kenyataan.

Khaw berkata, kedua-dua suspek yang bergiat aktif sejak awal tahun ini turut positif methamphetamine dan mempunyai tujuh serta enam rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah, selain jenayah.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kedua-duanya direman tujuh hari membantu siasatan.

“Tindakan juga diambil di bawah ADB (pelucuthakan harta) 1988 dan JSJN menyita dua kenderaan jenis Wira Aeroback serta Honda Civic dianggarkan bernilai RM41,800.”

Khaw berkata, polis sedang memburu saki-baki anggota sindiket itu dan meminta orang ramai mempunyai maklumat menelefon Hotline JSJN 012-208 7222 bagi membantu pihak berkuasa membanteras dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.