Pesara mengaku tak salah 13 tuduhan seleweng RM140,000

Pesara mengaku tak salah 13 tuduhan seleweng RM140,000

Tertuduh berdepan dakwaan antaranya salah guna tabung kebajikan wang kesatuan pihak berkuasa Terengganu.

Jafri Wahab, 58, berdepan 11 pertuduhan salah guna wang milik Tabung Kebajikan Anulae cawangan Terengganu berjumlah RM29,200 dan dua pertuduhan guna penyata akaun bank palsu. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Pesara kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 13 pertuduhan menggunakan dokumen palsu dan menyalahgunakan wang milik sebuah kesatuan berjumlah RM140,867.79, empat tahun lalu.

Pengakuan Jafri Wahab, 58, yang juga bekas penolong pegawai kesihatan persekitaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) direkodkan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Dia didakwa atas dua pertuduhan menggunakan dokumen penyata akaun bank atas nama Kesatuan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) cawangan Terengganu bagi tempoh antara 2019 hingga 2020 berjumlah RM111,667.79 yang diketahuinya adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 28 Jun 2020 di MBKT dan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia juga berdepan 11 pertuduhan menyalahgunakan wang milik Tabung Kebajikan Anulae cawangan Terengganu berjumlah RM29,200 untuk kegunaan sendiri, semasa memegang jawatan sebagai bendahari kesatuan itu.

Kesalahan berkenaan melibatkan transaksi antara RM200 dan RM6,000 dan didakwa dilakukan antara 15 Jan hingga 23 Julai 2020 di sebuah premis perbankan.

Bagi kesalahan berkenaan, bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga lima tahun, sebatan serta denda.

Peguam Mohd Asaari Salleh yang mewakili tertuduh merayu jaminan RM15,000 yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.