
Tentera laut memaklumkan KD Pendekar mengalami kebanjiran besar di perairan Tanjung Penyusop ketika melaksanakan operasi, dipercayai terlanggar objek bawah air.
Menurut kenyataan, kebocoran yang mula dikesan di bilik jentera merebak dengan cepat dan tidak terkawal.
“Semua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya,” katanya.
Tentera laut berterima kasih kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, polis, dan komuniti maritim yang berada di persekitaran atas tindakan pantas memberi bantuan.
“Usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua kru seramai 39 orang sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya. Tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.
Dalam pada itu, tentera laut memaklumkan fokus sekarang adalah melaksanakan operasi menyelamatkan kapal.
Ia memaklumkan kapal tersebut tenggelam sepenuhnya pada 3.54 petang tadi. “Usaha menyelamatkan kapal melalui operasi salvaj masih dalam proses pelaksanaan.”
Aset tentera laut turut ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan dan keselamatan persekitaran.
Suatu lembaga siasatan khas akan ditubuhkan dengan kadar segera bagi mengenal pasti punca kejadian, tambahnya.
Tentera laut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini, serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah.
“Perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui sumber rasmi tentera laut,” katanya.