
Peniaga, Abdul Rasul Abdul Razak, 60 berkata ketakutan akan menjejaskan perniagaan.

“Mereka sekarang takut nak jalan di Masjid India. Kita tak tahu sampai bila mereka akan berfikiran macam itu. Yang susah kami tiada pelanggan.
“Kerajaan mesti beri jaminan kepada orang awam yang tempat ini dah okay,” katanya ketika ditemui FMT.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Naziha, 58, berharap sebarang kerja selenggara di kawasan terkesan tidak memakan masa terlalu lama, kerana terdapat peniaga yang tidak dapat buka premis bagi mengelak risiko.
Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menutup pasar malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) ditutup hari ini, bagi beri laluan kepada usaha mencari mangsa dan faktor keselamatan peniaga.
Petang tadi, polis saran peniaga di Jalan Masjid India menutup premis buat sementara waktu, bagi mengelak risiko terhidu gas yang mungkin keluar daripada lurang kumbahan semasa operasi pencarian.

“Sehari tutup pun kita boleh rugi. Harapnya jangan lama sangat. Pelanggan susah nak datang sini jalan semua kena tutup,” ujar Naziha.
Sementara itu, Zainal Abidin, 59, yang hampir setiap hari melalui kawasan tersebut sama sekali tidak menjangka akan berlaku kejadian tragis seperti ini.
“Ini yang kita nampak. Kawasan lain kita tak tahu bawah itu macam mana. Minta tolong sangat periksa betul-betul pastikan kerosakan yang kena diperbetul.”
“Saya selalu lepas habis kerja di kerusi itulah kita duduk menghilangkan penat sebelum balik rumah,” kata seorang lagi orang awam yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlah.

Dalam pada itu, orang ramai beritahu FMT bahawa mereka bimbang melihat permukaan kaki lima yang kelihatan mendap di kawasan berhampiran lubang benam.
Terdahulu media melaporkan seorang wanita warga India tertimbus selepas terjatuh ke dalam lubang benam sedalam 8m di hadapan Masjid India.
Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan pasukan penyelamat giat menjalankan pencarian.