
Katanya, ini kerana golongan muda adalah komposisi yang akan menguasai dan memimpin Umno pada masa depan.

“Setuju sekiranya Umno ketengahkan orang muda sama ada Pemuda atau Wanita untuk menjadi calon di DUN Mahkota,” katanya kepada FMT, menyifatkan ‘optik’ dimaksudkannya adalah ‘menjurus kepada satu objektif politik’.
Beliau ditemui di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Khamis lalu, Pemuda Umno menerusi Ketuanya Dr Akmal Saleh mahu calon sayap itu mewakili BN pada PRK Mahkota dengan menamakan Ketua Pemuda Kluang Syed Husein Syed Abdullah.
Menggunakan platform PAU2024 bagi menyatakan perkara itu ketika menyampaikan ucapan dasar ketua Pemuda, Akmal berkata pihaknya sedia menggalas tanggungjawab jika diberi kepercayaan selepas berjaya melaksanakannya dengan sempurna di Nenggiri.
Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad turut mengusulkan calon sayap itu diberi peluang mempertahankan DUN berkenaan bagi meneruskan legasi penyandang Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Sementara itu, seorang lagi Ahli MKT Puad Zarkashi juga setuju calon muda diketengahkan pada PRK berkenaan berdasarkan ‘mood’ terkini selepas kemenangan di Nenggiri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan calon muda yang akan diberi tanggungjawab memastikan kemenangan BN mesti mempunyai rekod prestasi baik.
“Kalau ikut kempen di PRK Nenggiri, saya berpendirian calon mesti muda. Soal calon daripada Pemuda atau Wanita terpulang kepada presiden dan pengerusi perhubungan Umno untuk menentukannya,” katanya.
Pada 17 Ogos lalu, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang juga ketua Pemuda Umno Kelantan merampas kerusi Nenggiri apabila menewaskan calon Perikatan Nasional Mohd Rizwadi Ismail.