
Mohd Mizan Aslam dari Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) berkata tindakan itu sebagai langkah tambahan untuk mengelakkan ketirisan, selain daripada cadangan menggilirkan pegawai terbabit proses berkenaan.
“Satu pasukan atau pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilatih SPRM perlu diletakkan untuk memantau perolehan aset,” katanya kepada FMT.
Beliau turut mencadangkan pendigitalan proses tender serta pembelian aset ketenteraan sebagai meningkatkan proses semak dan imbang.
“Kalau sebelum ini proses itu dilakukan secara manual atau sebut harga agak tradisional sistemnya tetapi sekarang perlu dilakukan secara digital.
“Paparkan di laman sesawang ATM yang boleh dilihat pelbagai pihak, ini dapat mengelak berlaku manipulasi serta menjamin ketelusan dalam perolehan aset,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya akan melaksanakan penggiliran pegawai terbabit proses perolehan aset ketenteraan setiap beberapa tahun bagi mengelakkan ketirisan.
Menurutnya, tindakan itu sejajar titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung isu integriti dalam ATM.
Sultan Ibrahim bertitah kedaulatan dan maruah negara akan tergadai, jika rasuah serta salah guna kuasa diamalkan dalam kalangan pegawai tentera, sambil memberi amaran tidak akan memberi muka kepada pesalah.
Mengulas lanjut, Mizan berkata teguran Sultan Ibrahim itu juga dipandang serius kerana berkait keselamatan negara.
“Kita perlu faham baginda pemerintah tertinggi ATM dan mahu memastikan isu integriti, keselamatan serta kedaulatan sentiasa dipertahankan,” katanya.