Tragedi Masjid India: Mangsa sepatutnya pulang esok

Tragedi Masjid India: Mangsa sepatutnya pulang esok

Mangsa berusia 48 tahun ke negara ini untuk melancong bersama ahli keluarganya kira-kira dua bulan lalu.

Operasi mencari dan mengorek kawasan mendapan giat dijalankan pasukan penyelamat.
KUALA LUMPUR:
Wanita warga India yang terjatuh dalam lubang benam sedalam 8m akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India pagi tadi sepatutnya pulang ke negara asal esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata mangsa berusia 48 tahun tiba di negara ini kira-kira dua bulan lalu untuk melancong bersama keluarganya.

“Sudah dua bulan dia melancong ke sini, difahamkan esok hari terakhir di Malaysia,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, mangsa yang dilaporkan sedang berjalan dari Selangor Mansion ke arah Lebuh Ampang terjatuh dan tertimbus di dalam lubang akibat tanah jerlus kira-kira 8 pagi.

“Ada saksi tengok, tak nampak sebarang pergerakan selepas (mangsa) jatuh,” kata Rusdi.

Sementara itu, Rusdi mengesahkan mendapan tanah pernah berlaku tahun lalu berdekatan lokasi insiden hari ini.

“Saya difahamkan tempat ini pernah mendap sekali betul-betul berhampiran kawasan kejadian ini tapi telah dibaiki,” katanya.

Tinjauan FMT mendapati, beberapa kedai berhampiran lokasi kejadian diarahkan menutup operasi sementara waktu bagi memberi laluan kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Ketika ini, operasi mencari dan mengorek kawasan mendapan giat dijalankan pasukan penyelamat walaupun hujan lebat.

Seramai 35 anggota dan pegawai bomba, 14 kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 32 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (5) dan pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (4) turut serta dalam SAR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.