Peguam dakwa SPRM ugut tahan anak lelaki Daim

Peguam dakwa SPRM ugut tahan anak lelaki Daim

Peguam juga mendakwa permintaan Wira Dani Abdul Daim ditemani peguam ketika disoal siasat SPRM juga ditolak.

Rajesh Nagarajan menuntut penjelasan daripada SPRM dan menteri dalam negeri kerana mendakwa anak guamnya Wira Dani Abdul Daim dinafikan hak perlembagaan untuk diwakili peguam.
PETALING JAYA:
Peguam yang mewakili anak sulung Daim Zainuddin mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengugut untuk menahan anak guamnya itu jika beliau berkeras mahu ditemani peguam ketika disoal siasat.

Rajesh Nagarajan menuntut penjelasan daripada SPRM dan menteri dalam negeri kerana mendakwa anak guamnya itu dinafikan hak perlembagaan untuk diwakili peguam.

Beliau juga mahu jaminan bahawa hak dan keselamatan Wira Dani Abdul Daim akan dilindungi.

Dalam satu kenyataan, Rajesh berkata bahawa Wira Dani dipanggil SPRM semalam untuk memberikan kenyataan dalam siasatan agensi itu terhadap bapanya yang juga bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Katanya, Wira Dani hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Wira Dani Abdul Daim

Menurutnya, Wira Dani berulang kali meminta kehadirannya semasa proses soal siasat tetapi pegawai SPRM menghalang beliau daripada berada bersama anak guamnya.

Rajesh berkata setiap individu berhak mendapat khidmat peguam dan menafikan hak untuk mendapatkan nasihat dan wakil undang-undang adalah pelanggaran hak perlembagaan Wira Dani.

“Pegawai SPRM kemudiannya mengugut jika Wira Dani berkeras mahu diiringi peguam, dia akan segera ditahan.

“Ini adalah tindakan yang kasar dan salah guna kuasa oleh SPRM. Ancaman penahanan itu tidak berasas dalam undang-undang dan dibuat untuk menakut-nakutkan Wira Dani secara tidak sah agar menyerahkan haknya untuk diiringi oleh peguam.”

Kata Rajesh, akibat daripada tindakan SPRM yang ‘angkuh dan menyalahi undang-undang’ itu, Wira terpaksa menjalani soal siasat selama beberapa jam tanpa kehadiran peguamnya.

Beliau menambah kelakuan ‘tidak mengikut undang-undang’ oleh SPRM itu tidak boleh diterima.

“Kami menggesa ketua SPRM, menteri dalam negeri dan kerajaan untuk segera menghentikan amalan yang menafikan hak rakyat untuk mendapatkan nasihat undang-undang,” katanya, sambil merujuk kepada kematian tragis Teoh Beng Hock, yang juga dinafikan haknya untuk diwakili oleh peguam semasa disoal siasat SPRM.

Teoh yang juga pembantu politik kepada exco Selangor dan Adun Seri Kembangan dari DAP, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat 5 Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009.

Mendiang ditahan semalaman dan disoal siasat di SPRM Selangor, yang mempunyai pejabat di tingkat 14 bangunan itu.

FMT menghubungi SPRM untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.