
Mengulas kritikan Rajesh Nagarajan, peguam anak sulung bekas menteri kewangan Daim Zainuddin itu, agensi antirasuah berkenaan menjelaskan pihaknya menjalankan tugas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan komited menghormati hak undang-undang.
Katanya, Wira Dani dipanggil ke ibu pejabat SPRM Putrajaya bawah Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009 untuk memberikan keterangan sebagai saksi dalam siasatan sedang dijalankan.
SPRM menjelaskan, ada keputusan duluan membenarkan penangguhan sementara hak wakil guaman semasa prosedur siasatan tertentu, antaranya kes SPRM & Ors lwn Latheefa Beebi Koya & Anor (2017) 5 MLJ 349, yang menetapkan bahawa Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan tidak menjamin hak wakil guaman semasa rakaman keterangan saksi.
“Malah, mahkamah mendapati tiada asas undang-undang atau perlembagaan untuk kehadiran peguam semasa rakaman keterangan kerana Akta SPRM 2009 tidak memperuntukkan hak tersebut.
“Dalam kes ini pula, pegawai penyiasat SPRM percaya bahawa kehadiran peguam Wira Dani boleh menjejaskan siasatan. Keputusan tidak membenarkan peguam Wira Dani bersama sewaktu rakaman percakapan adalah selaras keputusan kes dinyatakan di atas,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Rajesh menuntut penjelasan SPRM kerana mendakwa anak guamnya diugut akan ditahan jika beliau berkeras mahu ditemani peguam ketika disoal siasat.
Katanya, Wira Dani dipanggil SPRM semalam untuk memberikan kenyataan dalam siasatan agensi itu terhadap Daim.
Daim disiasat bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Notis penyitaan Menara Ilham turut dikeluarkan pada 18 Dis bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 sebagai sebahagian daripada proses siasatan.