
Ketuanya, Noraini Ahmad, berkata sayap parti itu mempunyai calon berwibawa untuk diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya kecil dijadualkan 28 Sept depan.
“Kita mahukan kemenangan di Mahkota, jadi kita menuntut agar kerusi DUN Mahkota diberikan kepada calon Wanita.
“Dalam PRU14, kita kalah di Mahkota ini, tetapi ketika PRN Johor, kepimpinan negeri Johor dan juga presiden berani meletakkan kepercayaan kepada calon wanita.
“Walaupun kerusi ini bukan mudah dimenangi dan kita bertembung empat penjuru, calon wanita berjaya menang dengan majoriti 5,166 undi. Apa lagi hendak dibuktikan,” kata Noraini menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Wanita Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, Mahkota salah satu dari tiga DUN di Johor yang diwakili calon Wanita Umno termasuk Pulai Sebatang dan Tenang dalam PRN Johor 2022.
“Kita nak fokus untuk menang, Insya-Allah kita jadikan kemenangan di Nenggiri pencetus semangat,” kata Noraini.
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dalam ucapan dasar sayap itu turut menyuarakan agar mereka diberikan peluang bertanding di DUN Mahkota, seperti mana di PRK Nenggiri.
Ia susulan kejayaan Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Barisan Nasional (BN) menewaskan Mohd Rizwadi Ismail dari Perikatan Nasional (PN) dengan 5,739 undi di Nenggiri.
Dalam ucapan penggulungan, Akmal menawarkan Ketua Pemuda Kluang Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon sayap itu bagi PRK Mahkota.
“Kenapa kita umum awal, kerana calon kita bagus…Pemuda Umno mencalonkan ketua Pemuda Kluang di Mahkota,” katanya.