
Ketua Polis Miri, Alexson Naga Chabu, berkata siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
“Polis menerima satu laporan daripada jawatankuasa terlibat dengan penganjuran Sukma berkaitan kejadian itu.
“Siasatan lanjut akan dijalankan termasuk terhadap rakaman video tular membabitkan insiden itu semalam,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan keanggotaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati sejumlah anggota polis mengawal di gelanggang sukan silat tanpa kehadiran penonton.
Acara Putri Kelas 45kg ke bawah antara pesilat Sarawak, Iman Syakilla Mahdi dan pesilat Wilayah Persekutuan, Nurin Alyaa Damia Mohd Masran petang semalam dicemari insiden membaling objek dipercayai botol air ke gelanggang.
Insiden itu difahamkan bersangkut paut sistem pemarkahan pada skrin, sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati penonton.