Elak wujud ‘Ali Baba’ dalam PuTERA35, kerajaan diberitahu

Elak wujud ‘Ali Baba’ dalam PuTERA35, kerajaan diberitahu

Ahli ekonomi berkata kerajaan perlu mengelakkan ada kumpulan mengambil kesempatan terhadap pelan pembangunan 10 tahun Bumiputera.

peniaga bumiputera
Isnin lalu, kerajaan melancarkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) bagi mengangkat darjat dan martabat Bumiputera agar sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani.
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi menggesa kerajaan supaya berhati-hati melaksanakan dasar menjayakan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) bagi mengelakkan budaya ‘Ali Baba’ yang merugikan.

Noor Azlan Ghazali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan keperluan itu bagi mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan terhadap program pembangunan 10 tahun Bumiputera yang dilancarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Isnin lalu.

“Dasar mesti mesti dibentuk dengan berhati2 kerana terdedah kepada ‘rent seekers’ dan ‘free riders’ yang ambil kesempatan raih keuntungan tanpa usaha jitu.

“Perlu jelas terperinci tujuan, kriteria, mekanisme dan tempoh pelaksanaannya,” katanya pada sidang media.

PuTERA35 diperkenal bagi mengangkat darjat dan martabat Bumiputera agar sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani iaitu memperkasa rakyat serta dijajarkan dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030) yang akan membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

Ia menggarap tiga teras utama iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperteguh kerukunan tatakelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.

Pelan itu juga menggarap 12 pemacu dan 132 ikhtiar dalam memperkasakan lagi agenda Bumiputera.

Anwar yang juga menteri kewangan menegaskan PuTERA35 tidak sesekali mengetepikan kepentingan suku atau kaum lain dalam negara.

Sementara itu, Noor Azlan yang juga pengarah institut pembangunan dan kemajuan inklusif UKM berkata enam daripada tujuh penanda aras kerangka Ekonomi Madani dilihat bergerak di landasan tepat dan mampu mencapai sasaran ditetapkan kerajaan menjelang tahun 2033.

Menurutnya, hanya penanda aras kedua iaitu meletakkan Malaysia di tangga ke-12 teratas dalam Indeks Daya Saing Global masih belum menepati piawaian dan perkara itu harus perhatian khusus kerajaan.

“Kerajaan, perniagaan serta masyarakat mempunyai peranan untuk meningkatkan daya saing negara dan tidak boleh hanya (melibatkan) jawatankuasa Kabinet.

“Pasukan ini bertindak untuk menyusun strategi, melaksana, memantau dan melapor secara berterusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.