Polis Kelantan lupus dadah RM89.3 juta

Polis Kelantan lupus dadah RM89.3 juta

Jumlah barang kes yang dilupuskan melibatkan 3,808 kertas siasatan.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, pelupusan barang kes akan dilakukan esok di Bukit Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Polis Kelantan akan melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM89.3 juta yang dirampas sejak 1997.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua barang kes itu telah selesai melalui proses mahkamah dan diarah untuk dilupuskan.

Jumlah barang kes yang dilupuskan melibatkan 3,808 kertas siasatan, tambahnya.

Beliau berkata, dadah terbanyak yang akan dilupuskan ialah jenis syabu bernilai RM87 juta, diikuti pil kuda (RM878,658.15), Diphendramine (RM180,981.60) dan ganja (RM165,079.02).

“Pelupusan barang kes akan dilakukan Syarikat Kualiti Alam Sendirian Berhad esok di Bukit Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menahan 17,694 orang serta merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM10.3 juta sepanjang Januari hingga Julai lepas.

“Kita turut menyita aset RM3.7 juta manakala 68 pengedar dadah telah diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.