
Alimah Omar, 66, berkata sepatutnya bayaran itu dibuat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis.
Semalam Pembantu Akaun Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd (SKTT) Fazilah Jelani, 47, memberitahu mahkamah bahawa Azlan pernah membuat tempahan percutian keluarga ke London, United Kingdom dengan kos berjumlah RM687,785.40 pada 2013, 2014 dan 2015.
Bagaimanapun Fazilah berkata Azlan membatalkan kesemua tempahan percutian itu dan bayaran balik berjumlah RM629,395.30 telah dibayar kepada Azlan melalui cek atas nama beliau, yang jumlah selepas ditolak dengan caj yuran pembatalan.
Pada prosiding hari ini, Alimah ketika disoal balas peguam Ramli Shariff, yang mewakili Azlan berkata beliau tidak mempertikaikan tindakanya yang perlu menandatangani cek atas nama Azlan walaupun mengetahui jumlah itu besar kerana bekas pengarah syarikat pelancongan itu, Shafiei Ismail yang mengendalikan segala urusan percutian Azlan.
“Secara peribadi saya tidak pernah berurusan dengan Azlan dan saya hanya mengenalinya secara rasmi sebagai menteri besar Perlis. Shafiei yang uruskan segala tuntutan daripada Azlan.
“Bagi mengesahkan pengeluaran bayaran, saya faham sepatutnya bayaran dibuat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis tetapi saya dimaklumkan tuntutan bayaran balik itu dibuat oleh Azlan, maka cek dikeluarkan atas nama Azlan Man,” katanya.
Saksi pendakwaan keenam itu berkata demikian pada hari kelima perbicaraan kes bekas Adun Bintong itu yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.
Alimah bersetuju dengan Ramli bahawa tidak ada pakatan antara syarikat Sri Kedawang dengan anak guamnya.
Terdahulu Alimah ketika membacakan pernyataan saksinya berkata beliau dan pengurus besar syarikat pelancongan itu, Zulkamar Abu Bakar yang menandatangani tiga cek berjumlah RM629,395.30 atas nama Azlan sebagai bayaran pembatalan pakej percutian tersebut pada 2014, 2015 dan 2016.
“Saya sahkan salinan tiga cek imej Maybank Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd berjumlah RM629,395.30 masing-masing bertarikh 14 Feb 2014, 5 Feb 2015 dan 20 Jan 2016 atas nama Azlan Man, bertujuan untuk pembatalan pakej percutian Azlan. Penetapan jumlah pada cek tersebut ditetapkan oleh Shafiei Ismail (bekas pengarah syarikat pelancongan itu).
“Pengurusan syarikat itu ditadbir, dan keputusan syarikat dibuat sepenuhnya oleh Shafiei sebagai rakan kongsi syarikat ,” katanya dan menambah syarikat pelancongan itu ditubuhkan pada 1988 dan Shafiei merupakan rakan kongsinya.
Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.
Ia membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.