
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.07 tengah hari dengan kejadian melibatkan bas pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.
“Seramai 11 anggota dari Balai Bomba Banting serta Balai Bomba Telok Panglima Garang dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada 1.18 tengah hari.
“Kemalangan melibatkan sebuah bas milik pejabat SUK Selangor dinaiki 21 individu serta sebuah motosikal,” katanya menurut Sinar Harian.
Katanya, mangsa terlibat terdiri 15 wanita dan enam lelaki.
“Dua lelaki serta empat wanita parah, 15 mangsa lain cedera ringan, manakala pemandu bas berkenaan tersepit di bahagian pemandu,” katanya.
Beliau berkata, motosikal disyaki terlibat gagal dikesan sejurus kejadian.
“Semua individu yang parah serta cedera ringan kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan selanjutnya,” katanya.