
Menteri Besar, Saarani Mohamad, berkata pihaknya akan mengikut langkah seperti diumumkan supaya tidak timbul perbandingan antara kerajaan negeri dan persekutuan.
“Biasanya kita akan ikutlah (pelarasan gaji awam)…kita akan ubah suai (gaji) sedikit-sebanyak, tetapi kena ada kenaikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pakej Kembara Mesra Muslim sempena Tahun Melawat Perak 2024 di Ipoh, menurut Bernama.
Saarani tidak menafikan kenaikan gaji pejawat awam itu akan memberi implikasi kewangan negeri, namun pihaknya berusaha meningkatkan keupayaan dana negeri bagi memenuhi pelaksanaan tersebut.
“Selama ini pun macam itulah (mencari kewangan), jadi insya-Allah ada rezeki masing-masing,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata kadar baharu kenaikan gaji lebih 21,000 penjawat awam negeri turut dibuat sama seperti dilaksanakan peringkat persekutuan.
“Kadar dan kaedah (baharu kenaikan gaji penjawat awam Selangor) sama seperti diumumkan oleh perdana menteri dan kita akan ikut kaedah persekutuan. Kenaikan itu (dikuatkuasakan) pada Disember ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Selangor 2025 (Penggantian).
Anwar ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali ke-19 (MAPPA XIX) 2024, mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15% kepada pegawai kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional.
Beliau yang juga menteri kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji 7% kepada pegawai kumpulan pengurusan tertinggi.
Katanya, pelaksanaan pemberian pelarasan gaji itu akan dilakukan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi fasa 1 dan 1 Jan 2026 untuk fasa 2.