OKS dera anjing gagal hadir, mahkamah keluar waran tangkap

OKS dera anjing gagal hadir, mahkamah keluar waran tangkap

Orang Kena Saman gagal hadir ke mahkamah bagi sebutan kes dan hanya diwakilkan oleh peguam.

Mahkamah keluarkan waran tangkap ke atas seorang individu dalam kes dera anjing di Kajang baru-baru ini. (Gambar X)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Sesyen Kajang mengeluarkan waran tangkap ke atas Orang Kena Saman (OKS) dalam kes dera anjing di Kondominium Landmark Residence 1, Kajang baru-baru ini.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), waran tangkap tersebut dikeluarkan susulan OKS itu gagal hadir ke mahkamah bagi sebutan kes hari ini dan hanya diwakilkan oleh peguam.

Sebutan baharu bagi kes berkenaan ditetapkan pada 9 pagi, 30 Ogos ini.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini sehingga kes ini selesai dibicarakan dan mendapat keputusan mahkamah,” menurut DVS dalam kenyataan.

Sebelum ini, tular satu video yang memaparkan seorang lelaki dipercayai mendera anjing baka Husky di sebuah pangsapuri di Kajang.

Susulan itu, DVS melakukan siasatan di bawah perenggan 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan, dan sekiranya didapati bersalah, individu terlibat boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.