Polis rampas dadah lebih RM10 juta, bongkar taktik sewa inap desa

Polis rampas dadah lebih RM10 juta, bongkar taktik sewa inap desa

Polis berkata sindiket pengedaran dadah aktif sekitar Johor Bahru dan Seri Alam sejak Mei lalu tumpas dengan penahanan tujuh ahlinya.

m kumar polis johor
Ketua Polis Johor M Kumar menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis membongkar taktik sindiket menyewa rumah inap desa bagi menjalankan kegiatan memproses dan membungkus dadah selepas tujuh suspek ditahan dan dadah bernilai lebih RM10 juta dirampas minggu lalu.

Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata sindiket aktif sejak Mei lalu itu tumpas dalam tiga serbuan pada 12 Ogos lalu di sekitar Johor Bahru dan Seri Alam, dengan lima lelaki tempatan dan dua wanita warga asing berusia 22 hingga 38 tahun ditahan.

Dalam serbuan pertama, katanya empat lelaki ditahan dan lebih 60kg pelbagai jenis dadah dirampas dari seunit pangsapuri disewa sindiket itu sejak Jun lalu dengan bayaran RM220 sehari.

“Dalam serbuan kedua pula, kita menahan sepasang suami isteri di sebuah rumah teres dua tingkat yang disewa dan merampas sejumlah dadah.

“Dalam serbuan ketiga, seorang wanita warga asing ditahan di sebuah lagi unit ‘homestay’ di pangsapuri berkenaan,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPK Johor.

Beliau berkata sindiket itu menjadikan kediaman kawasan berpagar dan berpengawal untuk menjalankan aktiviti memproses serta membungkus dadah, sebelum mengedarnya ke pasaran tempatan di Johor.

Menurutnya sindiket akan membungkus semula dadah dalam pek kecil minuman berjenama bagi mengaburi pihak berkuasa untuk diedarkan ke pusat hiburan.

Kumar berkata 59.62kg dadah disyaki serbuk ekstasi, 93.40g disyaki ketamin, 79g disyaki pil ekstasi, 103.1g disyaki pil erimin 5 dan 41g disyaki ganja dirampas, dengan semuanya bernilai lebih RM10 juta dan boleh digunakan 199,644 penagih.

Katanya polis turut merampas 500ml cecair vape, 10 rokok elektronik dan pelbagai alatan memproses serta membungkus dadah, selain menyita empat kereta, sebuah motosikal, pelbagai barang kemas dan mata wang pelbagai negara.

“Keseluruhan jumlah rampasan dan sitaan melebihi RM10.23 juta dan ini antara rampasan besar sepanjang tahun ini.”

Menurutnya ujian air kencing mendapati enam suspek positif methamphetamine, ketamin dan benzodiazepines, manakala tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Semua suspek direman hingga Khamis ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil menambah polis sedang memburu dalang sindiket itu yang dikenal pasti sebagai Lo Show Shang, 36.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.