Syarikat keluarga dapat ‘projek’, pegawai kanan bomba dipenjara 3 tahun, denda RM172,000

Syarikat keluarga dapat ‘projek’, pegawai kanan bomba dipenjara 3 tahun, denda RM172,000

Tertuduh mencadangkan syarikat milik ibu mentua dan adik ipar bagi kerja pembekalan bernilai keseluruhan RM32,540.

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu
Tertuduh, Mohd Roslan Zakaria, 41, didakwa melakukan kesalahan di Akademi Bomba Malaysia Wilayah Timur di Marang, pada November 2016.
PETALING JAYA:
Pegawai kanan bomba dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM172,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan dengan mencadangkan syarikat pembekalan milik ahli keluarga.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penolong kanan penguasa bomba didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan dengan mencadangkan sebut harga milik ibu mentuanya, Pak Su Global Enterprise untuk melaksanakan kerja pembekalan 60 unit antena dan 30 unit alat ganti pengecas bernilai RM8,100.

Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampau keraguan munasabah terhadap Mohd Roslan Zakaria, 41, lapor Harian Metro.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama dengan mencadangkan sebut harga Muazzam Global Enterprise milik adik iparnya untuk melaksanakan kerja-kerja pembekalan 31 unit kompas berjumlah RM7,440.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan mencadangkan sebut harga Muazzam Global Enterprise milik adik iparnya untuk melaksanakan kerja-kerja pembekalan 10 unit jaket keselamatan di air dan 20 unit ‘wet suit’ yang berjumlah RM17,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Marang pada Julai dan November 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh dan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd Yusof, manakala tertuduh diwakili peguam, G Ravishankar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.