
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata setakat ini pihaknya telah menerima 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.
“Kita memanggil beliau tampil beri keterangan pada 20 Ogos bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Bernama.
Terdahulu, Ketua Polis Pahang Yahaya Othman dilaporkan berkata, kertas siasatan akan dibuka susulan laporan-laporan yang diterima berhubung ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu.
Menurutnya, siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Sebelum ini, tular ucapan bekas perdana menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Semalam, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap presiden Bersatu itu.
Pemuda dan Puteri Umno Pekan selain Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, antara yang membuat laporan polis terhadap Muhyiddin.