8 penyokong buat kecoh di Stadium Perak ditahan

8 penyokong buat kecoh di Stadium Perak ditahan

Seorang remaja 16 tahun turut ditahan kerana membaling botol ke arah anggota polis yang sedang bertugas.

Abang Zainal Abidin Ahmad
Polis sedang melengkapkan siasatan dan akan merujuk kes itu kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut, kata Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad. (Gambar Facebook)
IPOH:
Polis menahan lapan penyokong bola sepak disyaki terlibat kekecohan dan provokasi pada perlawanan Liga Super membabitkan Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak di sini, malam tadi.

Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata tujuh daripada mereka berusia antara 19 hingga 32 tahun ditahan kerana membuat kekecohan dan provokasi serta disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan gaduh gempar.

“Polis turut menangkap seorang remaja berumur 16 tahun kerana membaling botol ke arah anggota polis yang sedang bertugas dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah dan tiada rekod lampau jenayah.

Abang Zainal Abidin berkata pihak polis sedang melengkapkan siasatan dan akan merujuk kes itu kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Kekecohan berlaku ketika perlawanan antara The Bos Gaurus dan JDT yang sepatutnya dilangsungkan pada 9 malam tertangguh sementara ekoran faktor cuaca buruk.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kemudian mengumumkan perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu ditunda ke tarikh baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.