

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Alif Jasni, berkata penubuhan suruhanjaya itu adalah keperluan mendesak yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.
“Situasi terkini seolah-olah menunjukkan insiden orang hilang semakin meningkat, yang memberi isyarat bahawa langkah sedia ada mungkin tidak mencukupi untuk menanganinya dengan berkesan.
“Keperluan penubuhan suruhanjaya khas ini bagi menyelidik punca utama peningkatan kes dan merangka strategi komprehensif untuk mengatasinya,” katanya kepada FMT.
Beliau menjelaskan, suruhanjaya itu berperanan menyelaras tindakan antara agensi dan memberi tumpuan kepada sokongan psikososial keluarga mangsa pada saat kritikal.
“Rakyat memerlukan tindakan progresif dan komprehensif bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan,” katanya.
Pada 23 Julai lalu Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata berdasarkan data Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), kes membabitkan orang hilang kekal kira-kira 900 insiden setiap tahun.
Katanya, daripada keseluruhan kes orang hilang dilaporkan peratusan yang ditemui antara 85% hingga 90%.
Berdasarkan rekod Bukit Aman, seramai 429 individu berusia 18 tahun ke atas dilaporkan hilang di seluruh negara bagi 2022 hingga Jun tahun ini membabitkan 314 lelaki dan 115 wanita.

Sementara itu, Pengasas Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Malaysia, Akhbar Satar, mencadangkan penubuhan Pertubuhan Membantu Orang Hilang Malaysia (MMPP) yang berperanan mencegah dan menambah baik respons apabila berlaku kes.
Beliau yang juga pakar jenayah berkata, MMPP dicadangkan itu melibatkan kerjasama polis dan wakil kerajaan bagi mencegah dan memberi sokongan kepada keluarga mangsa.
“MMPP dicadang mengadakan ‘bulan orang hilang’ selama sebulan dalam setahun untuk meningkatkan kesedaran dan memaklumkan kepada orang ramai mengenai langkah boleh diambil berkaitan pencegahan dan respons terhadap kes orang hilang,” katanya.