Tiada lagi deposit tetap PAS Kelantan dari luar, kata Asyraf

Tiada lagi deposit tetap PAS Kelantan dari luar, kata Asyraf

Setiausaha Agung Umno berkata kehadiran pengundi luar Nenggiri yang beralih sokong BN disifatkan ramai.

prk nenggiri
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kemenangan di Nenggiri moral penting kerjasama kerajaan perpaduan.
GUA MUSANG:
Umno menyifatkan pengundi luar bukan lagi menjadi deposit tetap PAS Kelantan susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK Nenggiri.

Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia dibuktikan apabila pengundi luar Nenggiri tidak lagi menyokong PAS dalam PRK kali ini apabila mereka memberi undi kepada BN.

“Yang paling penting juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi luar yang selama ini lebih berpihak kepada PAS.

“Tapi kita boleh lihat kehadiran mereka yang ramai (kali ini) berbanding pada PRN Kelantan (pada tahun lalu yang merekodkan jumlah keluar mengundi) sebanyak 61% sahaja dan hari ini (peratusan keluar mengundi) 73%,” katanya pada sidang media.

Asyraf berkata, kemenangan yang diraih itu juga menjadi moral penting kepada kerjasama kerajaan perpaduan.

Katanya, BN memasuki PRK dengan kekalahan dan penghinaan pihak lawan bagaimanapun mampu berakhir dengan kemenangan besar.

“Kita bermula dengan kekalahan dan penuh kehinaan sebab ceramah-ceramah (mereka) dari awal lagi memaki hamun, mencaci, dan menghina Umno seolah-olah kami tidak ada maruah,” katanya.

Umum calon awal faktor menang

Sementara itu Ketua Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub berkata strategi BN mengumumkan calon lebih awal antara faktor kemenangan selain kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah rakyat sambil pandai menunding jari kepada Putrajaya.

Beliau juga tidak menyangka BN mampu mencapai kemenangan besar dalam PRK Nenggiri.

“Bagi saya amat luar biasa kali ini, tetapi kita ingat kita insaf kemenangan diberi kepada kita merupakan suatu ujian yang mana rakyat ingin lihat sejauh mana keupayaan Umno-BN dalam sempurnakan perkara membelenggu rakyat ,” katanya.

Azmawi janji berkhidmat tanpa pilih warna politik

Sementara itu, calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berjanji akan berkhidmat kepada semua masyarakat tanpa mengira warna politik.

“Tanggungjawab ini akan saya galas sebaik mungkin dan kemenangan besar malam ini juga tanpa saya duga,” katanya.

Azmawi diumum menang Nenggiri apabila memperoleh kemenangan dengan majoriti 3,352 menewaskan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail meraih 5,739 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.