PRK Nenggiri: 51.03% keluar mengundi setakat 12 tengah hari

PRK Nenggiri: 51.03% keluar mengundi setakat 12 tengah hari

Pengerusi SPR, Ramlan Harun berkata peratusan keluar mengundi setakat ini sangat menggalakkan.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 51.03% daripada jumlah keseluruhan 20,216 pengundi di DUN Neggiri telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.
GUA MUSANG:
Peratusan keluar mengundi warga emas dan anak muda pada PRK DUN Nenggiri setakat 12 tengah hari ini amat menggalakkan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ramlan Harun.

Beliau berkata kedua-kedua saluran pengundian itu menunjukkan kehadiran yang tinggi dengan peratusan mengundi di saluran warga emas mencatatkan jumlah tertinggi diikuti saluran pengundi muda.

“Macam biasa, pada sebelah pagi ia lebih kepada saluran warga emas dan saluran muda baru mula (meningkat), selepas pukul 11 ke atas makin rancak mereka turun (mengundi),” katanya dalam sidang media selepas meninjau proses pengundian di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh.

Menurut SPR, setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 51.03% daripada jumlah keseluruhan 20,216 pengundi biasa telah menunaikan tanggungjawab masing-masing sejak semua 20 pusat mengundi bagi PRK itu dibuka 8 pagi tadi.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.

Ramlan berkata peratusan keluar mengundi untuk tempoh sama kali ini lebih memberangsangkan berbanding PRN pada tahun lepas yang hanya mencatatkan 30%.

“Saya amat mengharapkan pengundi yang belum mengundi dapat keluar awal supaya proses hari ini tidak tergendala kerana petang nanti mungkin akan hujan dan sebagainya,” katanya.

Mengenai situasi banjir kilat di Kampung Serian Batu 11 malam tadi, Ramlan berkata SPR telah menghantar kelengkapan seperti bot dan perahu, sejurus mendapat maklumat mengenai perkara itu daripada Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK berkenaan Nik Raisnan Daud.

“Banjir berlaku di Kampung Serian Batu 11, dan tempat mengundi (mereka) di Kampung Serian Batu 12. Kita telah melaksanakan tindakan segera dengan menghantar bot atau perahu untuk bawa pengundi-pengundi dan setakat ini (banjir) sudah surut dan dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan pengundi tidak dapat turun mengundi di kesemua 20 pusat mengundi bagi PRK itu.

Sementara itu, Ramlan berkata SPR telah menerima satu laporan mengenai kesalahan kecil pilihan raya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 melibatkan bahan kempen atau poster yang tidak mengikut peraturan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.