
Hassan Karim menyifatkan kenaikan gaji kakitangan kerajaan sebagai langkah yang ‘tepat dan bagus, namun beliau mengingatkan kerajaan tentang golongan pekerja bukan penjawat awam, seperti tukang cuci, pengawal keselamatan dan tukang kebun, yang bekerja di sekolah, hospital dan klinik kerajaan secara kontrak.
“Pekerja tidak rasmi ini, jumlahnya ramai di seluruh negara, lazimnya ditindas oleh majikan mereka, para kontraktor.
“(Mereka) perlukan campur tangan kerajaan untuk membela nasib mereka,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang itu dalam catatan di Facebook hari ini.
Hassan berkata, golongan pekerja ini berdepan beberapa cabaran, seperti tangga gaji rendah, waktu bekerja yang panjang, serta ketiadaan caruman KWSP dan Perkeso.
“Dinafikan gaji minimum serta tiada jaminan pekerjaan (juga antara) isu yang selalu mereka hadapi,” katanya.
“Semoga kerajaan khususnya menteri sumber manusia menolong menyelesaikan masalah pekerja informal yang ramai ini.”
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji antara 7% hingga 15% bagi penjawat awam bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu.
Kumpulan pengurusan tertinggi penjawat awam akan menerima kenaikan gaji 7% manakala gaji mereka yang dikategorikan sebagai pelaksana, pengurus dan akan naik 15%.
Bagaimanapun, kenaikan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, dengan Fasa 1 bermula 1 Dis dan Fasa 2 pada 1 Jan tahun depan.